Arab Saudi mengadakan Sidang Kemuncak luar biasa Negara-Negara Arab-Islam pada hari Sabtu untuk membincangkan situasi di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.
“Susulan kepada situasi yang semakin tegang di Gaza, kerajaan telah memutuskan untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab-Islam di Riyadh pada hari Sabtu.
“Ini bertujuan untuk menggantikan Sidang Kemuncak tergempar Negara-Negara Arab dan Sidang Kemuncak tergempar Islam yang sepatutnya diadakan pada tarikh yang sama,” menurut Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan.
Arab Saudi sebelum ini telah merancang untuk menganjurkan dua Sidang Kemuncak Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Kementerian itu menjelaskan bahawa keputusan untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Arab-Islam tersebut adalah sebagai usaha untuk menyatukan dan menyatakan pendirian bersama negara Arab-Islam mengenai situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini di Gaza dan wilayah Palestin.
Serangan terus-menerus oleh rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza sejak hampir sebulan yang lalu telah menyebabkan kematian lebih 11,000 orang, dengan sebahagian besar daripada mereka adalah penduduk awam yang terutamanya wanita dan kanak-kanak.
– Bernama