Pendaftaran untuk Pusat Pangkalan Data Utama (Padu) kerajaan – yang akan digunakan untuk memperhalusi kelayakan dan pengagihan bantuan serta subsidi – kini buka.
Pendaftaran boleh dibuat di pautan https://www.padu.gov.my/ dan sepenuhnya dalam bahasa Melayu buat masa ini.
Untuk mendaftar, pengguna perlu memasukkan nombor kad pengenalan serta poskod mengikut apa yang ada pada MyKad, selain nombor telefon dan alamat e-mel.
Anda kemudian boleh menetapkan kata laluan untuk akaun tersebut.
Setelah kata laluan ditetapkan, anda akan mendapat pin nombor laluan khas (OTP) melalui SMS ke telefon mudah alih yang didaftarkan.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sebelum ini terdapat sedikit masalah pada pengguna Celcom yang lambat menerima OTP tersebut tetapi isu itu sedang diselesaikan.
Selepas memasukkan OTP, anda perlu melalui proses pengesahan e-KYC (electronic know your customer) membabitkan gambar MyKad dan swafoto pengguna untuk pengesahan identiti.
Menurut laman sesawang Padu, proses pengesahan e-KYC boleh mengambil masa sehingga tiga hari, tetapi pengalaman Malaysiakini ketika ini, ia dilakukan serta-merta.
Selepas proses pengesahan selesai, anda boleh mendaftar masuk ke laman sesawang berkenaan dan melalui proses kemas kini butiran peribadi.
Ia melibatkan senarai komprehensif termasuk maklumat butiran isi rumah, alamat semasa, pekerjaan, jarak dari rumah ke tempat kerja, komitmen bulanan, pendapatan dan sumber pendapatan lain, serta sebarang bantuan yang sudah terima.
Maklumat tersebut akan menjadi faktor kepada pengagihan bantuan dan subsidi belum dibentangkan setakat ini.
Bagaimanapun, Rafizi berkata, melalui Padu kerajaan berhasrat untuk menghapuskan kategori B40, M40, dan T20 yang diguna pakai ketika ini.
Label begitu dikritik sebelum ini kerana tidak menggambarkan status kehidupan seseorang dengan tepat, seperti kemiskinan bandar, atau pihak yang mempunyai komitmen keluarga yang besar.
Pada masa yang sama, kerajaan mahu memastikan golongan “super kaya” tidak lagi menikmati subsidi yang pada asasnya disasarkan untuk mereka yang kurang bermampuan.