Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan baja Rahmah dalam waktu terdekat sebagai usaha membantu mengurangkan beban golongan petani di negara ini.
Timbalan Menteri, Fuziah Salleh, menyatakan bahawa mereka sedang dalam peringkat rundingan akhir dengan beberapa syarikat berkaitan bagi mengeluarkan baja yang berkualiti pada harga berpatutan.
“Tindakan proaktif ini diambil sebagai salah satu cara untuk membantu mengurangkan beban petani sayur dan sawit dari segi kos penanaman selain mengelakkan kenaikan harga sayur dan minyak sawit di pasaran,” katanya.
Fuziah berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah Pantai Selamat Group di Pasar raya Fresh Choice Taman Tas di Kuantan hari ini, yang turut melibatkan pengagihan 100 bakul Rahmah kepada golongan memerlukan.
Pasar raya tersebut turut mengadakan jualan Rahmah selama tiga hari bermula hari ini.
Selain itu, Fuziah berkata Jualan Rahmah Bergerak melalui konsep ‘Kedai Cari Rakyat’ di Pahang dijadualkan bermula pada bulan ini di kawasan yang kekurangan pasar raya.
“Kita menyedari ada golongan yang tiada kenderaan, Orang Kurang Upaya (OKU), dan warga emas yang sukar ke pasar raya menyebabkan kita terpaksa mencari mereka untuk membantu mereka,” katanya.
Sejak konsep jualan itu dilancarkan pada 16 Jun lepas di Pulau Pinang, Fuziah berkata sambutan yang diterima di setiap lokasi pelaksanaannya di beberapa negeri sebelum ini, sangat baik dengan barangan yang dimuatkan dalam lori 10 tan habis dijual dalam tempoh dua hingga tiga jam.