Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di daerah Kota Setar bagi menempatkan mangsa banjir, ditutup sepenuhnya hari ini susulan situasi banjir telah pulih.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua 67 orang daripada 23 keluarga yang berada di PPS itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman yang dibuka pada 26 Sept lalu telah ditutup pada pukul 9.30 pagi tadi manakala PPS SK Seri Gunung yang dibuka pada 28 Sept lalu ditutup pada pukul 8 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata keadaan cuaca baik hari ini membolehkan kesemua mangsa yang berada di pusat pemindahan itu pulang ke rumah masing-masing.
-Bernama