Angka kematian akibat banjir besar yang melanda timur Libya dijangka mencecah 20,000 di bandar Derna sahaja, lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Kami menjangkakan jumlah mangsa yang sangat besar. Ia boleh mencecah 18,000 hingga 20,000 kematian berdasarkan situasi terkini di Derna,” kata Datuk Bandar Abdulmenam al-Ghaithi kepada saluran Al Arabiya lewat Rabu.
Al-Ghaithi berkata bandar itu mengalami bencana kemanusiaan akibat banjir besar yang dicetuskan oleh ribut kuat di timur Libya hujung minggu lalu.
Dalam insiden itu, dua empangan di Derna runtuh.
Anggota penyelamat dan saudara mara terus mencari mangsa yang terselamat dengan kira-kira 10,000 orang dilaporkan hilang, menurut Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
Banjir di timur Libya juga menyebabkan lebih 30,000 orang hilang tempat tinggal, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi PBB, khususnya di Derna.
– Bernama-dpa