Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak yang akan dibayar Jumaat ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata turut mendapat bantuan khas itu adalah pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250.
“Insya-Allah saya telah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024,” katanya dalam majlis perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan khas itu mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan persekolahan, walaupun bayaran Insentif Awal sebanyak RM2,000 telah disalurkan pada 23 Feb lepas.
Katanya, BKK itu juga mengambil kira keluhan penjawat awam yang ditemui di bazar Ramadan ketika lawatan kerjanya ke Pahang dan Sarawak baru-baru ini.
Anwar berkata sekiranya politik stabil, dasar ekonomi jelas dan pelaburan domestik dan asing bertambah, kerajaan boleh mempertimbangkan penyaluran bantuan lain kepada rakyat.
Turut bersama dalam perhimpunan bulanan itu adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
-Bernama