Hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam disertai ribut menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai banjir kilat di Taman Fair Park pada 5.06 petang dan segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati benar terdapat banjir kilat dengan kedalaman air antara tiga hingga lima kaki.
“Sebanyak 36 mangsa yang terperanangkap di kawasan dinaiki air telah dibawa ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata air banjir sudah surut di tempat kejadian dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka ketika ini.
Turut tular melalui media sosial beberapa gambar menunjukkan kenderaan hampir ditenggelami air di laluan Taman Fair Park petang tadi.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan pihaknya menerima laporan berkaitan banjir kilat di sekitar Taman Cempaka kira-kira pukul 6 petang.
“Kita telah melakukan pemantauan dan air sudah surut sepenuhnya. Keadaan air di dalam longkang mengalir deras, (namun) berada pada tahap selamat,” katanya.
– Bernama