Bekas ahli parlimen Bangi, Ong Kian Ming, berpendapat bahawa DAP tidak berisiko untuk menjadi “MCA 2.0” kerana terdapat banyak perbezaan antara kedua-dua parti tersebut.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa perbandingan tersebut dibuat kerana orang ramai mempersoalkan sama ada DAP akan terus bersuara seperti ketika parti itu masih menjadi pembangkang.
“Saya rasa tidak wujud risiko untuk DAP menjadi MCA 2.0 dalam masa terdekat,” katanya dalam podcast âAre we OK?â.
Ong pertamanya berkata bahawa MCA telah berada di tampuk kuasa selama lebih daripada 50 tahun dan mengambil masa yang lama untuk menjadi seperti sekarang.
Berbeza dengan MCA, parti DAP tidak menjadi sebahagian daripada landskap korporat dan perniagaan Cina, menurut beliau. “Namun, saya juga merasakan pimpinan DAP masih lagi orang yang benar-benar mahu berkhidmat kepada negara,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan momentum untuk pembaharuan institusi seolah-oleh terbantut pada masa ini.
Berkait dengan pengurangan hukuman bekas perdana Menteri Najib Razak, Ong berkata jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP patut mengeluarkan kenyataan, walaupun langkah seumpama itu bukanlah amalan biasa parti tersebut.
Beliau membandingkannya dengan Umno, di mana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti tersebut sering mengeluarkan kenyataan berkenaan isu-isu semasa.
Tekanan buat Anthony Loke
Ong mendakwa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berdepan dengan tekanan kerana terlibat dalam banyak kontroversi mutakhir ini.
Antara isu-isu tersebut termasuklah kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham, berkenaan Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah dan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming agar kampung baru Cina di Selangor dicalonkan untuk Tapak Warisan Dunia Unesco.
Beliau mengaitkannya dengan pengalaman DAP dalam menguruskan hubungan dengan Bersatu ketika parti tersebut masih berada dalam PH pada tahun 2018. “DAP tidak menguruskan naratif dan hubungannya dengan sesetengah pemimpin Bersatu berhubung beberapa isu melibatkan 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
“Jadi itu, secara langsung atau tidak langsung, menyebabkan Bersatu keluar PH dan membawa kepada kejatuhan kerajaan,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa pengalaman tersebut pastinya meletakkan tanggungjawab yang berat di bahu Loke.
Kampung baru Cina
Menurut Ong, berkaitan isu Kampung baru Cina, dengan mempertimbangkan suasana politik semasa, ia pastinya menjadi isu 3R.
“Proses permohonan Unesco memakan masa panjang dan melelah, maka Nga sepatutnya mendapatkan nasihat dulu sebelum bercakap tentangnya.
“Ada beberapa persoalan praktikal yang patut difikirkannya.
“Misalnya, ada lebih daripada 400 kampung baru Cina di Malaysia. Adakah kita akan jadikan semuanya sebagai tapak warisan Unesco?” soalnya.
Beliau juga membangkitkan Jinjang di Kuala Lumpur, yang menurutnya pernah menjadi kampung baru Cina terbesar di Malaysia tetapi kini termasuk dalam kawasan bandar.
“Jadi, bagaimana anda nak promosikannya sebagai kawasan yang ada nilai sejarah?”
[Baca berita asal]