Seorang bekas pemilik syarikat rekaan dalaman mendakwa tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki berhubung kerja pengubahsuaian rumah bernilai RM50,000, dua tahun lalu.
Wong Hong Jun, 40 tahun, yang pada masa itu pemilik syarikat Murasaki Design & Builds didakwa bersama seorang individu yang masih bebas menipu Nigel Ong Tat Wai, 39 tahun, dengan memperdayakannya untuk mempercayai tertuduh melakukan kerja pengubahsuaian rumah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM50,000 ke dalam akaun bank syarikat milik tertuduh.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Taman Tasik Damai, Brickfields di Kuala Lumpur pada 12.15 tengah hari, 26 Jun 2022.
Pertuduhan ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Nurshuhada Imraanuar daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.
Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Februari depan untuk sebutan kes.
– Bernama