Pemilik Toko Buku Rakyat, Benz Ali, menggesa rakan sesama industri untuk menentang Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) yang sangat kontroversi.
Bercakap pada ceramah anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) malam tadi, penulis bernama sebenar Amir Hamzah Akal Ali itu berkata, ahli parlimen – yang boleh mengubah keadaan itu – hanya akan bertindak sekiranya terdapat tekanan dari bawah.
“Kalau (Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim), (Menteri Dalam Negeri) Saifuddin (Nasution Ismail), (Menteri Komunikasi dan Digital) Fahmi (Fadzil) tak mahu buat, orang terlibat dalam printing press (kita) kena buat,” katanya dalam ceramah yang disiarkan secara langsung di laman sosial PSM.
Fahmi berkata pada Jun lalu, kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan PPPA, sebaliknya akan menumpukan kepada pembentukan majlis media yang bebas.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas dua naskhah buku dari kedai Benz Ali di Wisma Central, Kuala Lumpur pada 18 Ogos lalu.
Buku itu ialah Marx Sang Pendidik Revolusioner tulisan Robin Small dan Koleksi Puisi Masturbasi tulisan Benz Ali sendiri.
Saifuddin mempertahankan rampasan buku tersebut dengan berkata, tidak tepat menyifatkan tindakan KDN tersebut sebagai “serbuan” kerana hanya dua buku yang diambil.
Katanya tindakan itu juga diambil KDN berdasarkan aduan orang ramai.
Benz Ali malam tadi turut mempersoalkan proses dan penyelarasan tindakan antara agensi kerajaan.
Katanya, buku yang ditulisnya itu diluluskan untuk Nombor Buku Piawai Antarabangsa oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada 2015 namun dirampas oleh KDN lapan tahun kemudian.