Pejabat ketua pembangkang Hamzah Zainudin menafikan kenyataan tular yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima menghadap 118 ahli parlimen yang menyokong PN bersama-sama dengan akuan berkanun (SD) mereka.
“Ini berita palsu,” kata pejabat Hamzah secara ringkas hari ini.
Kenyataan yang kini disangkal itu, yang didakwa beredar di kumpulan Whatsapp hari ini juga menyebut PN menjunjung kasih kepada Agong dalam usaha pembangkang menyelamatkan negara.
Ia juga berkata PN yakin perkara berkaitan pembentukan pentadbiran baru akan dimuktamadkan selepas menghadap Agong.
Awal hari ini, ahli majlis tertinggi Umno Lokman Adam juga menafikan dakwaan penulis blog kontroversi Raja Petra Kamarudin bahawa pembangkang telah memperoleh 120 akuan berkanun (SD) melalui Langkah Dubai untuk menggulingkan kerajaan perpaduan.
Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah baginda tidak akan menerima menghadap mulai hari ini sehingga baginda mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari depan.
Baginda bertitah ini melainkan majlis yang telah ditetapkan serta sesi mingguan bersama Menteri besar Johor serta kerajaan Negeri.
“Bermula sekarang sehingga saya mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, saya tidak akan menerima apa-apa permohonan untuk mengadap.
“Dalam tempoh berkenaan, saya ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sebelum menjalankan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar,” titah DYMM Sultan Johor seperti yang dihebahkan Royal Press Office (RPO).