Bersih mengingatkan kerajaan bahawa tahun ini dan tahun depan adalah tahun kritikal untuk memacu peralihan demokrasi serta melaksanakan reformasi.
Pengerusinya Muhammad Faisal Abdul Aziz menyuarakan kebimbangan jika agenda reformasi tidak dilaksanakan sekarang, ia akan “berkubur” dan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan mendapat peluang untuk melaksanakannya sebelum tamat penggal penuh.
“Kami telah terangkan kepada PMX (Anwar) bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk anda melaksanakan agenda reformasi.
“Terdapat pilihan raya Negeri di Sabah dan Sarawak, diikuti Melaka dan Johor. Ahli politik akan sibuk bercakap tentang pilihan raya.
“Kami tidak mahu reformasi terkubur dalam tempoh empat tahun kerajaan perpaduan,” kata Faisal semasa ucapan dasar pada Kongres Bersih yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini.