Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Monday, December 23, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesBuat komen jelik nahas helikopter, peniaga didenda RM23,000

    Buat komen jelik nahas helikopter, peniaga didenda RM23,000

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    Seorang peniaga dalam talian yang mengeluarkan komen jelik berhubung nahas dua helikopter terhempas semasa menjalani latihan di ruang udara Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, 23 April lepas, didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping, Perak hari ini.

    Hakim Nabisha Ibrahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Saifuddin Shafik, 35, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan mengarahkannya dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

    “Hukuman ini diharap jadi pengajaran kepada kamu supaya tidak mengulangi kesalahan begini dan orang awam supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial. Gunakan media sosial secara berhemah,” kata hakim.

    Saifuddin turut membuat permohonan maaf atas perbuatannya kepada ahli keluarga mangsa, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan orang awam secara terbuka di dalam mahkamah.

    “Semasa buat hantaran itu saya sedar, saya amat menyesali perbuatan saya dan tidak mungkin bagi saya membuat hantaran tersebut sekiranya saya tidak ada penyakit bipolar.

    “Di sini saya minta maaf secara tulus ikhlas kepada ahli keluarga mangsa, pihak ATM dan mana-mana orang awam yang terkesan dengan hantaran saya,” katanya yang membayar denda itu.

    Saifuddin berkata dia akan menyahaktifkan akaun X miliknya untuk mengelakkan perkara itu berlaku pada masa depan.

    “Saya memang amat menyesal dengan tingkah laku saya yang tidak wajar dilakukan sesiapa pun dalam keadaan tragedi seperti ini,” katanya.

    Saifuddin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik menerusi perkhidmatan aplikasi X dengan menggunakan nama profil ‘Saifuddin Shafik @saishafik’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Dia melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 1.15 tengah hari, 23 April lepas dan kandungan itu dibaca di Gedung Sari Jalan Harmoni, Pusat Bandar Bagan Serai pada 6.30 petang hari sama.

    ALSO READ:  Dungun crash: Remains of two UiTM students laid to rest

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, serta boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Wan Azimah Yaacob memohon hukuman berat dikenakan supaya perkara itu tidak berulang dan menjadi mesej kepada tertuduh serta orang ramai untuk menggunakan media sosial secara berhemah, selain kesalahan itu telah melukakan hati pengadu, waris malah seluruh rakyat negara ini.

    Peguam Amin Othman yang mewakili Saifuddin merayu hukuman berbentuk denda dikenakan atas alasan tertuduh, yang berpendapatan RM2,000 hingga RM2,500, perlu menanggung isteri dan ibu bapa.

    Amin berkata faktor kesihatan anak guamnya yang didiagnosis penyakit bipolar sejak 2011 juga perlu diambil kira dan Saifuddin masih menerima rawatan di beberapa pusat perubatan sehingga 2023, selain ini merupakan kesalahan kali pertama tertuduh.

    -Bernama

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts