Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (gambar atas) menyatakan bahawa buku Malaysiakini and the Power of Independent Media in Malaysia patut dijadikan rujukan dalam bidang kewartawanan negara.
Sim berkata bahawa buku tersebut harus dibaca oleh bakal wartawan dan pelajar jurusan komunikasi di pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia, dan juga ketua-ketua pengarang sesebuah organisasi media.
“Saya mahu cadangkan buku ini kepada semua bakal wartawan di universiti, saya rasa anda patut membacanya dan jadikan buku ini sebagai bahan bacaan anda. Semua mereka yang mengikuti pengajian jurusan komunikasi mesti membacanya.
“Begitu juga dengan ketua-ketua pengarang dan bos wartawan menjadikan ia sebagai bahan bacaan wajib dan sila beli,” katanya ketika beliau hadir merasmikan pelancaran buku tersebut.
Buku akademik yang merincikan perjalanan Malaysiakini dari 1999 hingga sekarang dilancarkan hari ini di Gerakbudaya, Petaling Jaya.
Buku berjudul Malaysiakini and the Power of Independent Media in Malaysia yang ditulis oleh sarjana kewartawanan, Janet Steele, memberikan pandangan kritis di sebalik tabir Malaysiakini.
“Ia melihat sejarah Malaysia moden melalui kaca mata Malaysiakini.
“Dengan memberi tumpuan kepada detik-detik penting dalam sejarah Malaysiakini, ia memaparkan bagaimana masalah yang kelihatan sukar boleh diatasi dalam satu-satunya bilik berita yang benar-benar bebas di Malaysia,” tulisnya dalam pengenalan pada bukunya.
Buku ini juga merungkai bagaimana portal berita itu mendekati topik-topik sensitif seperti kaum dan agama.
Ia juga mengandungi biografi pengasas bersama Malaysiakini, Steven Gan dan Premesh Chandran, serta pengalaman mereka dalam menubuhkan portal berita itu.
Penting buat sejarah Malaysia
Steele, yang mengajar di Universiti George Washington, mula diperkenalkan kepada Malaysiakini pada tahun 2007.
Dia kemudian kerap mengunjungi Malaysiakini dan menemu bual individu penting di sebalik organisasi itu sebagai sebahagian daripada penyelidikannya untuk buku tersebut.
Sementara itu, Steele yang ditemui hari ini berkata bahawa dia sangat bertuah dan bangga kerana dapat menghasilkan buku yang disifatkan sebagai satu sejarah penting.
Menurut Steele, dia melihat perubahan sejarah negara hari ini melalui penulisan yang disiarkan oleh portal berita Malaysia sejak kewujudan Malaysiakini.
“Malaysiakini amat penting dalam sejarah Malaysia. Menurut saya, Malaysiakini telah mengubah negara ini. Sekarang jauh lebih baik daripada sebelumnya. Lebih terbuka dan saya kira rakyat Malaysia hari ini merasa lebih bebas untuk berbicara tentang politik, tentang semua aspek budaya dan sebagainya.”
“Saya juga fikir semua pekerja Malaysiakini harus sangat bangga dengan apa yang telah mereka lakukan,” katanya.