PRK PELANGAI | Calon BN Amizar Abu Adam mendakwa sokongan pengundi BN tidak tergugat hanya kerana bekas ahli Umno bahagian Bentong telah menjadi calon bebas.
Amizar berkata sebagai negara demokrasi dia tidak mempunyai masalah dengan penyertaan bekas ahli Umno Kampung Sum Sum, Janda Baik, Haslihelmy DM Zulhasli menawarkan diri untuk bertanding.
“Negara kita ni demokrasi, kita terbuka kepada sesiapa pun nak bertanding dalam demokrasi, silakan lah.
“Insya Allah tidak ada mengganggu-gugat (sokongan pengundi BN),” katanya ketika ditemui selepas berkempen tapak pasar malam Felda Chemomoi, Bentong, hari ini.
Semalam, Haslihelmy (gambar, atas) mendakwa dia membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas apabila BN mempertaruhkan Amizar.
Katanya, Amizar bukan anak jati Pelangai dan tidak sepatutnya diangkat sebagai calon BN bagi PRK DUN Pelangai.
“Bila saya bertanding dekat Bentong, bukan saya nak berlawan dengan kepimpinan BN…tetapi caranya.
“Kalau letak calon sesuai saya tak lawan, saya berlapang dada, tapi letak Amizar, bukan anak tempatan,” katanya kepada media selepas proses penamaan calon.
Mengulas mengenai kempennya setakat ini, Amizar berkata ia satu permulaan yang baik dan dia menerima sambutan daripada orang ramai.
“Penerimaan yang sangat-sangat baik, apabila kita berbicara tentang rakyat dan pengundi-pengundi penerimaannya sangat baik.
“Mereka ingin meneruskan…ingin meneruskan maksudnya DUN ini tetap kepada BN untuk menyambung kesinambungan BN di Negeri Pahang Insya-Allah,” katanya lagi.