Bekas Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy, membuat laporan polis setelah mendakwa dia dihina dan diugut oleh calon PH untuk kerusi tersebut, Kumaran Krishnan dan beberapa orang rakan.
Menurut Satees, 38 tahun, kejadian itu berlaku petang tadi ketika dia pergi memeriksa peti undi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior di Butterworth.
Satees berkata, dia membuat pemeriksaan itu untuk mengelakkan kejadian seperti yang berlaku di pusat mengundi di Paya Terubong.
Berdasarkan laporan polis, bekas ahli DAP itu mendakwa dia diejek oleh Kumaran apabila tiba di sekolah tersebut.
“Dia kemudian membawa sekumpulan lelaki yang tidak memiliki pas masuk ke pusat mengundi dan mereka semua mula memarahi dan mengugut saya. Kumaran juga mengajak saya bergaduh satu lawan satu,” katanya.
“Saya tidak mengendahkan ugutan dan ejekan mereka, tetapi mereka terus berbuat begitu,” dakwanya.
Menurut Satees, kumpulan itu juga memarahi seorang pengawal wanita yang memanggilnya sebagai “YB” (yang berhormat).
“Ketika saya dan ejen saya keluar dari pagar sekolah, sekurang-kurangnya lapan lelaki mengepung kami dan mengejek serta mengugut kami,” kata Satees.
Justeru itu, Satees membuat laporan polis kerana merasa terancam dan bimbang akan keselamatannya.
[Baca berita penuh](https://www.malaysiakini.com/news/675425)