PRK KEMAMAN | Dalam kempen terakhir, calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar memilih untuk tidak menyampaikan ucapan tetapi memberikan pantun sebagai gantinya.
“Malam ini saya tidak berhasrat untuk berucap, saya cuma mahu hadiahkan pantun kepada semua khususnya pengundi Kemaman,” katanya ringkas sebelum menyampaikan beberapa rangkap pantun di Ceramah Grand Finale di Chukai, malam ini.
Bekas perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut menyampaikan ucapan dalam ceramah itu dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dijangka mengakhiri ceramah tersebut.
Dibawah ialah pantun yang disampaikan Ahmad Samsuri di depan lebih 1,500 penyokong PN:
Mana dia orang Kemaman,
cuba angkat tangan,
orangnya manis baik budiman,
sejarah hebat jadi kenangan.
Indah sungguh daerah Kemaman,
pelancong datang suka berjalan,
insya-Allah dalam PRK Kemaman,
kita pakat pangkah bulan.
Bandar Chukai semakin indah,
daerahnya hebat dan terkenal,
Terengganu lening comel dah,
di bawah PAS Perikatan Nasional.
Lemang Kijal hebat dipantau,
berbaris gerai di tepi jalan,
wahai anak-anak peranantau,
ayuh pulang undi bulan.
DUN Air Putih bersuara lantang,
hebat sungguh perjuangan lepas,
biar bercurah habuan datang,
namun tetap undi PAS.
Pantai Kemasik sangat indah,
Kampung nelayan baiknya budi,
Ucapan saya sekianlah sudah,
Insya-Allah esok PAS kita undi.
Mari Kemaman makan roti payang,
tuan-puan di Kemaman saya sayang.
Samsuri kemudiannya mengiringi Mahathir yang meninggalkan program lebih awal.