China telah mengumumkan dasar pengecualian visa sepihak bagi pemegang pasport biasa dari Malaysia dan lima negara lain bermula dari 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024.
Negara-negara lain yang terlibat termasuk Perancis, Jerman, Itali, Belanda dan Sepanyol, menurut Xinhua yang mengambil sumber dari kenyataan Kementerian Luar China di media sosial.
Selama tempoh tersebut, pemegang pasport biasa dari enam negara tersebut dibenarkan memasuki China tanpa visa untuk tujuan perniagaan, pelancongan, melawat keluarga dan rakan-rakan, serta transit yang tidak melebihi 15 hari.
Bagaimanapun, rakyat dari enam negara tersebut yang tidak memenuhi syarat pengecualian visa masih perlu memohon visa sebelum memasuki China, menurut kenyataan tersebut.
Dasar ini antara lain bertujuan untuk menggalakkan pertukaran sesama rakyat.
-Bernama