Cuaca panas dan kering dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius dijangka melanda kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dan Sabah dalam tempoh tujuh hari akan datang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melalui hantaran di Facebook hari ini mengumumkan bahawa di Sarawak, ribut petir disertai hujan lebat dan angin kencang dijangka akan berlaku pada waktu petang dan berterusan sehingga pagi.
Berdasarkan analisis model cuaca, MetMalaysia meramalkan keadaan ini akan berlaku di Sarawak sehingga 15 Mac ini dengan penumpuan angin.
Pihak jabatan juga menasihati orang ramai untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.
– Bernama