Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata dia tidak akan memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad atas dakwaannya berkenaan pertalian kekeluargaan di kalangan pemimpin parti itu.
Loke berkata, ini kerana walaupun dakwaan bahawa dia ada pertalian dengan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng memang tidak benar, ia bukan bersifat memburuk-burukkan.
“Saya Loke, dia (Guan Eng) Lim. Tetapi kalau (Siti Mastura) hanya kata saya ada pertalian keluarga dengan Guan Eng, itu bukan defamation dan tiada apa-apa konotasi negatif.
“Ini kerana Guan Eng dan Kit Siang bukan komunis. Mereka pemimpin DAP.
“Kalau ada pertalian keluarga (antaranya dengan mereka) pun tiada masalah,” katanya ketika kongres DAP Pulau Pinang hari ini.
Siti Mastura membuat dakwaan berkenaan pertalian keluarga pemimpin DAP dalam satu ucapan di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.
Sementara Loke tidak risau dengan dakwaan berkenaan dirinya, dia berkata ia berbeza dengan apa yang didakwa Mastura terhadap Guan Eng dan Kit Siang.
“Dia kaitkan Guan Eng dan Kit Siang dengan Chin Peng, nak kaitkan mereka dengan komunis.
“Itu ada asas (untuk saman),” katanya lagi.
Chin Peng adalah nama samaran bekas ketua Parti Komunis Malaysia, mendiang Ong Boon Hua.
Siti Mastura mendakwa Kit Siang, Ong dan juga bekas perdana Menteri Singapura mendiang Lee Kuan Yew sebagai sepupu.
Ahli Parlimen PAS itu juga mendakwa Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok ada hubungan persaudaraan dengan isteri Guan Eng, Betty Chew.
Guan Eng dan Loke telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura.