Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad terus diam dan mengelak daripada media hari ini selepas mendapat kritikan hebat kerana mendakwa ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Ong Boon Hua, atau lebih dikenali sebagai Chin Peng, dan perdana Menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew.
Semalam, Lim memberi pemimpin PAS itu 24 jam lagi bagi membuktikan dakwaan yang dibuat olehnya berhubung dakwaan “konspirasi keluarga DAP”.
Bagaimanapun, Siti Mastura hanya membisu apabila ditemui oleh wartawan di Parlimen hari ini.
Dia terus membungkam apabila wartawan mengasak dan menuntut jawapan daripadanya sama ada dia akan membuat permohonan maaf kepada Lim atau tidak berhubung dakwaannya memandangkan tempoh masa yang diberikan semakin suntuk.
Diiringi oleh seorang individu yang dipercayai pembantunya, Siti Mastura terus mengorak langkah besar, meninggalkan wartawan.
“Jangan ganggu dia, dia ada tugas,” kata pembantunya.
Semalam, Lim memberi Siti Mastura sehingga esok (9 Nov) untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaannya yang dibuat semasa program PAS di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.
Dalam program itu, dia menuduh Guan Eng dan bapanya Kit Siang mempunyai hubungan sepupu dengan Chin Peng dan Lee.
Mastura juga mendakwa Guan Eng juga mempunyai hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP lain termasuk seperti Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, naib pengerusi Nga Kor Ming dan Teresa Kok dan ex officio Ngeh Koo Ham.