Seorang ahli parlimen DAP mahu kerajaan menjalankan semakan menyeluruh tentang perjanjiannya dengan Spanco Sdn Bhd baru-baru diheret ke mahkamah atas dakwaan menipu Kementerian Kewangan (MOF) sehingga dianugerahkan kontrak RM3.9 bilion.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mempersoalkan bagaimana kerajaan merancang untuk memenuhi obligasi di bawah kontrak dengan Spanco selepas pengerusi syarikat itu Robert Tan Hua Choon dituduh menipu.
Memetik jawapan bertulis parlimen oleh Kementerian Kewangan bulan lalu – yang mengesahkan bahawa perjanjian dengan Spanco kekal berkuat kuasa, Lim berkata dia tidak berpuas hati sepenuhnya dengan jawapan itu.
“Bukankah ironi kontrak kerajaan berbilion ringgit diberikan kepada syarikat yang terlibat dalam dakwaan cubaan menipu kerajaan? Dan jika ini tidak, apa yang harus kita panggil?
“Berapa nilai perjanjian konsesi, dan bilakah ia akan tamat? Adakah pemberian kontrak kepada Spanco diluluskan oleh Kabinet?” soalnya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Spanco, yang ditubuhkan pada tahun 1988 adalah pembekal swasta terbesar bagi penyelesaian pengurusan kenderaan kerajaan Malaysia.
Pada tahun 1993, ia dianugerahkan perjanjian konsesi selama 25 tahun dengan kerajaan.
Pada 3 Apr, Tan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu yang dikaitkan dengan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan.
Taikun berusia 83 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, antara 27 dan 28 Feb 2019, di Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Mengikut kertas pertuduhan Tan didakwa menipu Kementerian Kewangan Malaysia dengan memperdayakan Jawatankuasa Pembuka Peti Tender bahawa terdapat pemilikan saham sekurang-kurangnya 30 peratus oleh bumiputera di dalam syarikat Spanco Sdn Bhd.
“Dengan itu kamu secara tidak jujur telah mendorong Kementerian Kewangan Malaysia untuk menganugerahkan kontrak “Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleet” bernilai RM3,966,386,628.00 kepada syarikat Spanco Sdn Bhd, yang mana Kementerian Kewangan Malaysia tidak akan berbuat begitu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian,” kata kertas pertuduhan.
Pertuduhan itu membawa hukuman penjara minimum setahun atau sehingga 10 tahun penjara dan sebatan, serta denda.
Sebutan kes ditetapkan pada 4 Jun ini.