Rancangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan demonstrasi pada sambutan Hari Malaysia, Sabtu ini, akan mengganggu perayaan nasional tersebut yang sepatutnya dijalankan dengan sepenuhnya keharmonian. Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sabah, Mustapha Sakmud menyatakan bahawa sambutan Hari Malaysia pada tahun ini mempunyai makna yang besar kerana negara akan menyambut ulang tahun ke-60 penubuhan Malaysia. Baginya, ulang tahun yang ke-60 ini seharusnya menjadi platform untuk mendidik generasi muda tentang sejarah dan intipati penubuhan Malaysia serta bagaimana merancang agenda masa depan negara ini.
Beliau dalam kenyataannya di Kuala Lumpur hari ini, berkata, “Mengajak generasi muda turun berdemonstrasi sewaktu sambutan Hari Malaysia bukan sahaja tidak menghormati perayaan nasional ini, tetapi memberikan isyarat yang tidak baik kepada generasi muda negara ini.” Oleh itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berharap agar generasi muda yang mempunyai cinta kepada negara dapat berfikir secara rasional dan tidak terperanangkap dengan seruan untuk berdemonstrasi.
Ahli Parlimen Sepanggar itu juga menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha untuk memastikan generasi muda negara ini dapat menikmati kehidupan yang lebih baik melalui akses kepada pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan baru, gaji yang meningkat dan juga perlindungan yang komprehensif.
“Marilah kita semua merayakan sambutan ulang tahun Hari Malaysia yang ke-60 ini dengan tekad dan semangat baru untuk memastikan negara ini terus diperkasa dan menjadi salah satu peneraju ekonomi di rantau ini. Generasi muda perlu membentuk masa depan negara ini dengan asas keharmonian dan perpaduan, seperti yang diharapkan oleh generasi sebelumnya,” katanya.
-Sumber: Bernama