Pada hari kedua persidangan Dewan Rakyat, fokus akan diberikan kepada peranancangan kerajaan untuk menarik minat graduan perubatan agar terus berkhidmat dalam sektor kesihatan awam berikutan penghapusan skim pencen pada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baru akan dilaksanakan mulai tahun depan.
Isu tersebut akan dibangkitkan oleh Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sesi soal jawab lisan.
Manakala Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) akan meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menerangkan kaedah kerajaan dalam menetapkan sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang tahun 2025 dan sama ada sasaran tersebut dapat dicapai mengingat penggunaan EV masih rendah.
Iskandar Dzulkarnain juga ingin mengetahui tentang insentif yang disediakan untuk menarik lebih ramai golongan M40 memiliki EV.
Manakala, Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) akan mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengenai bilangan generasi kedua Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) yang telah dibina, syarat untuk memiliki rumah di sana, serta penjelasan mengenai beberapa projek yang tertangguh.
Selepas sesi soal jawab lisan, persidangan akan diteruskan dengan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang bermula semalam.
Berdasarkan jadual rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berjalan selama 19 hari dengan perbahasan mengenai Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac, diikuti dengan jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.
Pembentangan dan perbahasan mengenai rang undang-undang serta urusan kerajaan lain akan dijalankan pada 18 hingga 27 Mac.
– Bernama