Hanifah Hajar Taib, anak bongsu bekas Yang di-Pertua Sarawak Abdul Taib Mahmud, meminta supaya dipanjatkan doa untuk bapanya yang sedang sakit.
“Doakan dia sembuh,” kata Hanifah kepada pemberita di luar persidangan Persekutuan Majikan Malaysia di Petaling Jaya, pagi ini.
Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai keadaan terkini Taib, berikutan rawatannya di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching, Sarawak
Timbalan Menteri ekonomi itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi mengenai status Taib, termasuk dakwaan berlaku penculikan oleh isterinya, Raghad Kurdi Taib seperti yang dilaporkan.
Dalam satu hantaran di Instagram malam tadi, Raghad berkata perkara itu tidak benar dan mendakwa dia boleh membuktikannya, iaitu menerusi nota tulisan tangan jururawat.
Menurut nota yang dikongsi Raghad, pada jam 1.40 tengah hari Sabtu, doktor dimaklumkan yang Raghad ingin membawa Taib pulang dan seorang doktor mengambil maklum permintaan itu.
Semalam, pihak polis dilaporkan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Siasatan itu berdasarkan dua laporan polis berasingan, satu dibuat oleh doktor yang mendakwa lewat malam Sabtu, seorang ahli keluarga terdekat didakwa mencabut alat perubatan yang dipasang di tubuh Taib tanpa memaklumkan kepada hospital.
Dia kemudian diletakkan di atas kerusi roda dan dibawa keluar dari hospital.
Laporan polis kedua oleh ahli keluarga lain dilaporkan telah dibuat pada Ahad berdasarkan laporan pertama.