Ratusan orang berkumpul di luar Istana Negara, Kuala Lumpur untuk menyampaikan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon agar baginda campur tangan dalam isu yang mereka dakwa sebagai “kegagalan” kerajaan. Bekas perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad turut hadir dalam perhimpunan tersebut.
Tanpa menyediakan bukti yang kukuh, Dr Mahathir, yang berusia 98 tahun, mendakwa kos sara hidup yang tinggi dan keadaan ekonomi yang sukar telah mendorong orang Melayu untuk mengambil tindakan radikal seperti bunuh diri dan membunuh orang lain. Beliau mengatakan bahawa 17 orang Melayu telah membunuh diri, termasuk membunuh ibu bapa akibat tekanan dan kehilangan punca.
Memorandum itu diserahkan kepada pegawai istana oleh empat wakil NGO yang mendakwa mewakili Islam dan Melayu, walaupun nama pertubuhan tersebut tidak didedahkan.
Memorandum tersebut mendakwa bahawa kerajaan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah gagal menjaga kebajikan rakyat dan kedaulatan Islam dan Melayu. Selain itu, memorandum itu juga mengatakan bahawa raja-raja Melayu telah dihina akibat dakwaan pembangkang cuba merasuah raja untuk merekayasa rampasan kuasa terhadap kerajaan. Ia juga mendakwa mahkamah telah mencampuri perananan raja-raja Melayu sebagai ketua hal ehwal Islam di Negeri masing-masing.
Penyelaras gerakan Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard turut hadir dalam perhimpunan tersebut. Chegubard menyalahkan “AZD” (Anwar, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan DAP) sebagai punca ketegangan antara kaum dan ketidakstabilan politik. Beliau juga menuduh kerajaan menggunakan SPRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengekang perbezaan pendapat.
Kehadiran orang ramai di perhimpunan tersebut disertai dengan takbir dan teriakan slogan “hidup rakyat, Anwar derhaka” serta “daulat tuanku.”