Kerajaan sedang dalam proses akhir untuk memuktamadkan dasar dan draf perundangan mengenai Cukai Barangan Bernilai Tinggi yang dijangka dilaksanakan bermula tahun depan. Menurut Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan, mekanisme pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi masih dalam peringkat simulasi kerana ia merupakan sebuah langkah cukai yang baru diperkenalkan dan akan dilaksanakan.
Ahmad berkata mekanisme pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi akan melibatkan penggubalan perundangan baharu iaitu Rang Undang-undang Cukai Barangan Bernilai Tinggi yang akan dibentangkan kemudian. Beliau juga menekankan bahawa dasar perundangan perlu digubal dengan teliti supaya cukai dapat dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi amalan dan prinsip percukaian semasa serta tidak memberi kesan negatif.
Dalam pada itu, Ahmad turut mengumumkan bahawa jumlah wang tidak dituntut yang terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM11.9 billion. Oleh itu, kerajaan akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Wang Tidak Dituntut (WTD) dan orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dan mengakses WTD untuk mendapatkan wang masing-masing.
Persidangan Dewan Rakyat akan bersambung esok untuk perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024. Berita ini diambil daripada sumber Bernama.