GLOBAL | Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu berkata bahawa Turkiye mungkin “berpisah dengan Kesatuan Eropah (EU)” dan Ankara dijangka menamatkan bidaan untuk menyertai blok Eropah itu, lapor Xinhua.
“Kesatuan Eropah cuba untuk berpisah daripada Turkiye,” kata Erdogan kepada wartawan di Istanbul sebelum berlepas ke New York untuk menghadiri mesyuarat tahunan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Erdogan berkata Turkiye akan membuat penilaian sendiri mengenai laporan baru-baru ini yang diterima pakai oleh Parlimen Eropah, menyaksikan EU mengkritik Ankara kerana gagal mencapai kemajuan dalam beberapa aspek untuk mengembalikan semula rundingan mengenai keahliannya.
“Selepas penilaian itu, kami mungkin berpisah dengan EU jika perlu,” tegas Erdogan.
Selama lebih dua dekad, Turkiye telah berusaha untuk menjadi ahli blok 27 negara itu, namun proses penyertaan menunjukkan kemajuan yang terhad disebabkan pelbagai jurang wujud antara Ankara dan Brussels.
Sejak 2018, proses rundingan penyertaan telah dibekukan.
Mengenai permohonan Sweden untuk menyertai NATO, Erdogan berkata keputusannya selari dengan dengan keputusan yang dibuat oleh Parlimen Turki.
“Barat sentiasa menyebut Sweden, Sweden. Kami pula mengatakan bahawa tidak mungkin untuk berkata sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’ melainkan parlimen kami membuat keputusan,” katanya.
Erdogan mendakwa Stockholm gagal menangani kebimbangan berkaitan keselamatan Turkiye, sehubungan itu beliau mahu negara Nordik itu memainkan perananannya.
“Tidak cukup dengan sekadar merangka undang-undang. Apa yang penting ia harus dilaksanakan,” kata pemimpin Turkiye itu.
– Bernama-Xinhua