Beberapa media sosial di bawah Meta mengalami masalah malam ini, termasuk Facebook, Instagram dan Messenger.
Masalah ini menyebabkan pengguna terpaksa keluar dari akaun media sosial mereka dan tidak dapat log masuk semula.
Laman Downdetector mencatat peningkatan aduan pengguna mengenai masalah akses Facebook sejak 11.14 malam, dengan lebih daripada 350,000 aduan diterima sehingga kini.
Banyak pengguna telah menggunakan platform media sosial lain untuk membincangkan isu ini atau bertanya sama ada orang lain mengalami masalah yang sama.
Pada masa yang sama, laman status Meta pada pukul 11.17 malam mengesahkan kesedaran mereka terhadap masalah log masuk Facebook.
“Pasukan jurutera kami sedang berusaha keras menyelesaikan isu ini dengan secepat mungkin,” kata kenyataan tersebut.
Laman tersebut juga melaporkan bahawa Meta menghadapi “gangguan besar” yang melibatkan pusat pengurusan untuk pengguna perniagaan, WhatsApp Business dan API pemasaran.