Sebuah portal berita pro-PH yang menimbulkan kemurkaan sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan disiasat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Ia susulan laporan portal Harapan Daily yang mendakwa Sultan Abdullah memberi amaran kepada PAS.
Walaupun Fahmi mahupun istana Pahang tidak menamakan portal itu, namun kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mej Jen Mohamed Zahari Yahya membangkitkan laporan bertajuk “Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan PAS”, yang disiarkan oleh Harapan Daily.
Menurut Bernama, Fahmi memberi jaminan tindakan sewajarnya juga akan diambil terhadap portal terbabit.
“Ini juga adalah peringatan kepada semua pihak tidak kira media elektronik, cetak, portal, mahupun platform media sosial agar tidak sesekali memandang remeh isu 3R (agama, kaum dan raja),” katanya.
Pada 22 Mac lalu, Harapan Daily melaporkan petikan ucapan Sultan Abdullah, yang dikongsikan di Tiktok.
Dalam ucapan itu, yang disahkan istana Pahang dibuat ketika sesi taklimat pembangunan daerah Maran dua hari sebelumnya, Sultan Abdullah bertitah bahawa “penyakit lama” harus dilarang di masjid.
Ini termasuk sembahyang dua imam dan mengisytiharkan orang lain sebagai kafir.
Sultan Abdullah tidak menyebut PAS secara khusus, seperti yang didakwa Harapan Daily dalam laporannya.
Bagaimanapun, amalan sembahyang dua imam sering dikaitkan dengan PAS suatu ketika dahulu.
PAS juga sering dituduh menggelarkan orang Islam lain sebagai “kafir”.
Dalam kenyataan semalam, Sultan Abdullah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa berhubung laporan portal berita terbabit.
Harapan Daily kemudian menarik balik artikel itu semalam dan memohon maaf kepada Sultan Abdullah.