Presiden PAS Abdul Hadi Awang diberi tempoh 48 jam untuk sama ada membuktikan atau menarik balik beberapa dakwaan, antara lain bahawa DAP dan penasihatnya Lim Kit Siang adalah anti-Islam.
Lim berkata kegagalan untuk berbuat demikian akan menyaksikan Hadi diheret ke mahkamah.
Tindakan untuk menyaman itu dibuat selepas ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad mendakwa Kit Siang adalah sepupu dengan bekas perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, dan bekas pemimpin komunis, mendiang Chin Peng.
Anak Kit Siang, Lim Guan Eng, turut memberikan tempoh 48 jam kepada wakil rakyat PAS itu untuk membuktikan dakwaannya, dengan tempoh berakhir pada Khamis ini.
“Fiasco Siti Mastura telah memberi perspektif baru kepada dakwaan liar dan tidak masuk akal Presiden PAS Hadi Awang bahawa DAP dan saya adalah anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja-raja, komunis dan menyebarkan Islamofobia,” kata Kit Siang dalam kenyataan ringkas hari ini.
“Bagaimana mungkin pemimpin parti politik lain berbeza dengan presidennya yang boleh membuat dakwaan liar dan tidak masuk akal tanpa sedikit pun bukti?” soalnya.