Senator MCA, Ti Lian Ker meragui kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa Perikatan Nasional (PN) akan memelihara kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam usaha menarik sokongan orang bukan Islam.
Dalam satu kenyataan, Ti berkata adalah lebih baik Abdul Hadi meminta ahli-ahli PAS agar berhenti merujuk orang bukan Islam sebagai ‘kafir’.
“Hadi dah banyak kali bercakap sehingga Gerakan tidak mampu meyakinkan orang bukan Islam untuk mengundi PAS.
“Kata-kata “bersalut gula” terbaru untuk menegakkan kebebasan beragama dan keadilan tidak akan memadamkan memori orang bukan Islam mengenai Hadi yang memburukkan mereka, memanggil mereka “kafir,” dan juga menjenamakan Umno sebagai kafir kerana bekerjasama dengan MCA, MIC dan lain-lain.
“Adalah malang bagi Gerakan! Mereka bakal memikul tugas yang berat,” kata Ti.
Dia berkata golongan sederhana dalam PAS boleh menunjukkan sikap progresif mereka dengan menghalang rakan seperjuangan mereka menggelar orang bukan Islam di Malaysia atau orang yang tidak mengikut Islam sebagai “kafir”.
“Perkataan ini digunakan berkali-kali dengan cara yang merendahkan dalam saat-saat keterlaluan atau untuk merasa diri lebih baik. Selalunya, nada atau cara yang digunakan dianggap kasar dan bertujuan untuk menyinggung perasaan.
“Di sesetengah Negeri, perkataan kafir dianggap sebagai penghinaan perkauman, digunakan secara merendahkan atau menyinggung perasaan,” tambahnya.
“Secara peribadi, saya tidak akan merujuk diri saya sendiri atau mahu dirujuk sebagai “Kafir” kerana saya bukan kafir. Saya memiliki kepercayaan saya dan adalah warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perlembagaan kita adalah undang-undang tertinggi negara,” kata bekas naib presiden MCA itu.
Ti berkata, parti lain yang didominasi umat Islam, seperti Umno, Bersatu atau Amanah tidak menyelar orang bukan Islam dan melabel orang bukan Islam seperti yang dilakukan PAS.
Pada muktamar PAS ke-69, Abdul Hadi dilapor mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam setelah berjaya menguasai sokongan Melayu.
“Kita sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu Islam dalam PRU15, maka usaha yang penting dan berat yang mesti dilakukan adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu dalam PRU16,” katanya.
Menurutnya, PAS akan terus memelihara kebebasan beragama dan memastikan keadilan, seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.