Kerajaan Perpaduan tidak memaksa golongan bukan Islam untuk menghafal atau mendalami himpunan Hadis 40 Imam Nawawi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri berkata modul penghayatan hadis itu adalah untuk guru serta pelajar beragama Islam dan inisiatif menerbitkan semula koleksi hadis itu adalah untuk memupuk kefahaman agama dalam kalangan umat Islam sendiri, terutamanya golongan anak muda. Beliau menyatakan bahawa mendalami ilmu agama adalah bersandarkan kepada Al-Quran, Hadis dan kupasan ulama muktabar.
Pada 19 Ogos yang lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dengan tujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah. Modul itu akan diterapkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan. KPM juga menyatakan bahawa inisiatif menerbitkan semula himpunan hadis 40 Imam Nawawi adalah usaha untuk memupuk semangat kasih sayang dan menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar serta guru beragama Islam.
Program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan di 61 SMKA dan 228 SABK di seluruh negara. Namun, inisiatif ini mendapat polemik terutama di kalangan penganut bukan Islam. Dalam ucapannya, Anwar meminta penganut agama lain untuk tidak meremehkan usaha meningkatkan keyakinan umat Islam terhadap agama. Beliau juga menyatakan bahawa tidak ada permintaan kepada penganut agama lain untuk merendah dan meremehkan agama lain.
Perdana Menteri juga ingin meningkatkan pemahaman agama dalam kalangan anak muda agar mereka tidak menjadi generasi yang tidak mempunyai ilmu yang mencukupi dan terjebak menjadi mangsa kepada golongan penyelewengan dalam agama.