Hakim perbicaraan kes 1MDB memerintahkan supaya seorang doktor datang ke mahkamah bagi menjelaskan mengapa saksi utama pendakwaan tidak dapat hadir di mahkamah untuk memberi keterangan terhadap Najib Razak.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, membuat perintah itu pagi ini apabila mendapati sijil cuti sakit (MC) untuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, menyatakan dokumen itu tidak boleh digunakan untuk prosiding mahkamah.
Terdahulu timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa saksi pendakwaan ke-49 itu tidak dapat hadir kerana sedang bercuti sakit.
Untuk rekod mahkamah sebelum ini sudah menetapkan hari ini sebagai tarikh menyambung perbicaraan kes membabitkan bekas perdana Menteri terbabit.
Apabila Sequerah bertanya mengenai perkataan yang digunakan pada MC tersebut, Akram memberitahu, ia menyatakan dokumen tersebut tidak boleh digunakan untuk prosiding mahkamah.
Akram juga memaklumkan, pihaknya diberitahu oleh Nur Aida bahawa perkataan berkenaan digunakan atas faktor kesilapan perkeranian.
Menurut Akram, pegawai penyiasat SPRM terbabit menjelaskan perkataan yang sepatutnya digunakan pada MC itu ialah dokumen terbabit sah untuk prosiding mahkamah.
Namun katanya kesilapan input menyebabkan MC biasa – yang menggunakan perkataan tidak sah untuk prosiding mahkamah – dikeluarkan.
Justeru Sequerah berkata dia memerlukan doktor terbabit datang ke makamah untuk menjelaskan percangganan tersebut.
“Beritahu doktor itu untuk datang sekarang,” katanya apabila Akram memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan perlu menyediakan sepina terlebih dulu.
Peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, kemudian memaklumkan dia mendapat tahu Nur Aida memang tidak sihat dan mengalami penyakit berjangkit.
Pun begitu Sequerah mengulangi arahannya semula dan mengarahkan doktor terbabit datang ke mahkamah hari ini dan menjelaskan sendiri keadaan kesihatan saksi.
Katanya, perbicaraan kes 1MDB sudah berlangsung lama dan menarik perhatian orang ramai. Justeru, tambah hakim itu ia perlu disimpulkan segera.
Sequerah kemudian menangguhkan prosiding untuk menunggu doktor terbabit hadir di mahkamah hari ini.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.