Kira-kira 3,000 penduduk di Kampung Gersik, Labuan hidup dalam keresahan selepas mendapat notis pengusiran daripada Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), dakwa wakil penduduk.
Omar Abbang berkata mereka menerima notis itu enam bulan lalu dan usaha berbincang dengan Muis dan pemimpin politik juga tidak berjaya.
Katanya, mereka sudah menulis surat kepada Ketua Menteri Hajiji Haji Noor dan anggota parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman.
“Kami tidak terima sebarang maklum balas dan kami bimbang,” kata Omar.
Dalam notis bertarikh 22 Mei yang dilihat Malaysiakini, penduduk di dua lot tanah di Kampung Gersik yang didaftarkan atas nama Muis diminta mengosongkan tanah itu dalam tempoh enam bulan.
Tanah itu melibatkan keluasan 14 hektar.
“Hari ini 22 Nov, sudah enam bulan dan tiada siapa pun jawab surat kami. Ada 3,000 penduduk kampung dan 500 rumah di sini.
“Apa akan jadi pada kami? Ke mana kami hendak pergi,” kata Omar kepada Malaysiakini.
Katanya, mereka sebelum ini diberitahu secara tidak rasmi oleh pegawai Muis bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana mereka sedang “kemaskan” isu teknikal berkaitan tanah itu.
Bagaimanapun, oleh kerana tiada perkembangan memberangkan sehingga ke saat-saat, Omar berkata mereka terpaksa beralih kepada pihak media.
“Kami sudah tinggal di sini untuk beberapa generasi,” katanya.
Omar juga berkata kebanyakan penduduk kampung bekerja sebagai nelayan dan buruh serta menerima bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Sebanyak 95 peratus juga daripada mereka rakyat Malaysia, tambahnya.
“Jadi kenapa tiada siapa pun beri respons?” soal Omar.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Muis berkaitan perkara itu.