Seekor harimau belang ditemui mati dipercayai dilanggar sebuah treler di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan berhampiran hentian sebelah Gua Tempurung, awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Teh Kok Lim berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah ke lokasi kejadian selepas menerima aduan.
“Harimau jantan berusia anggaran 8 tahun ke 10 tahun itu dilanggar lori treler dan ditemukan mati di tepi pembahagi jalan berdekatan lebuh raya terbabit.
Kita percaya harimau belang ni adalah binatang yang dilaporkan sebelum ini menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk sekitar Kampar sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Teh Kok Lim berkata bangkai harimau berkenaan telah dibawa ke Pusat Perlindungan Hidupan Liar Sungkai (NWRC) untuk tindakan lanjut.
– Bernama