Pusat perlindungan di Semenanjung Gaza sedang dihantui oleh penularan wabak Hepatitis A akibat kesesakan, menurut Agensi Anadolu (AA) yang memetik Kementerian Kesihatan pada Rabu.
Kementerian itu telah mengeluarkan amaran mengenai potensi penggantungan ujian darah lengkap (CBC) pada bila-bila masa disebabkan kekurangan bahan yang diperlukan untuk tujuan tersebut.
Namun, butiran terperinci tentang kekurangan itu tidak diberikan.
Kehidupan yang mencabar penduduk Gaza di pusat perlindungan itu bertambah teruk dengan kekurangan tandas dan kemudahan sanitasi, menyebabkan pengumpulan sisa buangan berhampiran khemah yang baru didirikan.
Disamping itu, penduduk pusat perlindungan juga mengalami masalah kekurangan air, dengan majoriti individu terpaksa bergelut untuk melindungi diri dari akibat pencemaran dan kebersihan yang tidak mencukupi.
Hepatitis A, yang tersebar melalui makanan dan air yang tercemar, atau sentuhan langsung dengan individu yang dijangkiti, menimbulkan ancaman kesihatan yang ketara dalam keadaan yang mencabar ini.
PBB melaporkan bahawa sejak serangan pada 7 Oktober lalu, 85 peratus penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal, dan menghadapi kekurangan sumber penting seperti makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, serangan Israel telah menyebabkan sekurang-kurangnya 24,448 penduduk Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala 61,504 individu lagi cedera.
– Bernama-Anadolu