ActionAid Palestin meminta kepada masyarakat antarabangsa untuk segera menyalurkan bantuan bahan api ke Gaza. Ini kerana hospital kini hampir kehabisan bekalan dan keadaan ini boleh membahayakan nyawa pesakit termasuk bayi dan warga emas.
Mereka melaporkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 120 bayi yang baru lahir berada dalam inkubator, dan 70 daripadanya menggunakan ventilasi mekanikal. Jika hospital kehabisan bahan api, nyawa bayi-bayi ini akan terancam.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan kenyataan ActionAid yang menyatakan bahawa tanpa bantuan kritikal ini, bayi-bayi tersebut akan mati.
Hospital Gaza biasanya merawat 1,100 pesakit buah pinggang termasuk 38 kanak-kanak, dan mereka juga mengendalikan 13,000 sesi dialisis setiap bulan.
Sementara itu, hospital terbesar di Semenanjung Gaza iaitu Hospital Shifa, mampu menampung lebih 700 pesakit, tetapi kini merawat lebih 5,000 pesakit. Selain daripada itu, ia juga menyediakan tempat perlindungan kepada lebih 45,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
ActionAid Palestin menyatakan bahawa tindakan segera boleh membantu menyelamatkan nyawa beribu-ribu orang awam di Gaza.
Mereka meminta individu, kerajaan, dan organisasi di seluruh dunia untuk bersama-sama menangani krisis kemanusiaan yang mendesak di Gaza.
ActionAid menyeru kerajaan dan masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan segala-galanya untuk segera melaksanakan gencatan senjata di Gaza. Selain itu, mereka juga memohon perlindungan dan keselamatan sepenuhnya kepada orang awam serta memastikan bantuan kemanusiaan yang dapat menyelamatkan nyawa.
– Bernama-Wafa