Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan hujan lebat berterusan di Pekan dan Rompin, Pahang hari ini.
Berdasarkan ramalan yang dikeluarkan pada 8.15 pagi ini, hujan berterusan juga dijangka berlaku di Kuantan, Pahang dan seluruh Johor.
Sehubungan itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) peringkat Negeri/daerah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana terutama di kawasan berisiko tinggi.
“Pihak JPB Negeri dan daerah dimohon memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” demikian menurut kenyataan NADMA di Kuala Lumpur hari ini.
NADMA melalui NDCC sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.
Selain itu, NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan e-mel [email protected].
– Bernama