Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Monday, December 23, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesIsu perkauman: Panas di media sosial, kerajaan pula 'sambil lewa'

    Isu perkauman: Panas di media sosial, kerajaan pula ‘sambil lewa’

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    TINJAUAN | Walaupun isu perkauman dilihat ketara dan mungkin dianggap semakin panas, rata-rata masyarakat yang ditemui menganggap realiti di luar alam digital sebenarnya tidak begitu.

    Mereka menganggap apa yang dilaporkan sebenarnya dilatari faktor politik dan agenda tertentu saja.

    Hasil tinjauan Malaysiakini selama dua hari di sekitar Kuala Lumpur mendapati umumnya masyarakat melihat naratif perkauman di negara ini didorong oleh hasutan politik.

    Pesara guru yang bermastautin di Kedah, Amir Awang, 61, menyatakan suara-suara perkauman di media sosial datang daripada golongan yang merupakan penyokong kepada agenda politik tertentu.

    “Sejujurnya, kalau lihat dari sudut pengalaman, kita orang Melayu ini masih mesra dengan kaum lain macam biasa.

    “Komuniti tempat saya tinggal di Kedah semuanya hidup dengan harmoni. Orang Melayu apabila datang di kedai orang Cina masih boleh bersapa dengan mesra,” katanya.

    Pun begitu Amir berpendapat penting untuk kerajaan bersikap tegas mengekang sebarang cubaan memainkan atau mengapi-apikan sentimen perkauman di media sosial.

    Amir Awang

    “Masalah sekarang ini, kerajaan terlalu ingin terbuka, tapi saya rasa ia hanya akan menyebabkan orang berkepentingan semakin berani memainkan isu perkauman,” katanya.

    Amil zakat untuk Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muzaffar Arshad, 52, melihat punca isu perkauman memanas dalam kalangan masyarakat kerana ia dimainkan pembangkang.

    Ditemui di di pusat beli-belah Sogo, Muzaffar mempunyai cara tersendiri untuk ‘membaca’ isu perkauman yang melanda negara akhir-akhir ini.

    “Bagi saya untuk faham perkara ini mudah sahaja, kamu lihat balik 22 bulan PH menjadi kerajaan dulu, pelbagai isu dimainkan seperti sekolah vernakular, tulisan Jawi, Allahyarham Adib dimainkan pembangkang.

    “Namun apabila mereka menjadi kerajaan isu-isu itu didiamkan.

    “Sekarang apabila menjadi pembangkang semula, mereka mula mengungkit isu ini. Apa sahaja isu mereka akan kait dengan sentimen kaum dan agama, seperti kononnya Islam terancam dan mereka salahkan kerajaan,” katanya.

    Ada yang melebih-lebih

    Lebih memburukkan keadaan, katanya, naratif dimainkan pemimpin pembangkang itu disambut pula oleh pengikut mereka atau orang ramai yang kurang memahami keadaan sebenar.

    ALSO READ:  Gangguan seksual di kampus: Kumpulan siswa tuntut UM lebih tegas

    Kata Muzaffar, objektif mereka ialah untuk memastikan pengundi menyokong mereka dalam pilihan raya akan datang.

    “Dari sudut pergaulan rakyat di bawah ini, saya rasa masyarakat tiada masalah,” katanya.

    Sejak akhir-akhir ini ada beberapa isu melatari ketegangan hubungan antara kaum di Malaysia. Selain insiden stoking tertera kalimah Allah yang lebih dominan, beberapa isu lain turut dimainkan.

    Biasanya ia dibayangi dengan kata-kata seperti Islam terancam atau kedudukan Melayu yang menjadi boneka kepada kaum lain.

    Pemandu teksi, Hairi Jaafar, 32, pula berpendapat keadaan menjadi buruk apabila ada kaum tertentu “melebih-lebih” sehingga ada sesetengah Melayu rasa tercabar.

    “Puak itu yang melebih-lebih. Mereka patutnya hormat orang Islam. Apabila kita memberi reaksi, mereka pula ingin kelihatan seperti mangsa keadaan,” katanya.

    Peniaga, Saiful Osman, 32, melihat isu perkauman lebih kepada sikap jahat individu yang tidak mewakili seluruh bangsa di Malaysia.

    “Saya ada kawan India dan Cina, kami tak ada apa-apa masalah. Masyarakat juga saya lihat tiada masalah,” katanya.

    Saiful juga melihat ketegangan yang berlaku di media sosial adalah berpunca daripada laskar kekunci yang memanipulasi keadaan menggunakan akaun palsu.

    Saiful Osman

    Bagi Saiful kerajaan sangat lambat bertindak terhadap sesuatu isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat negara ini.

    “Misalnya isu stoking… saya lihat kerajaan bersikap sambil lewa dalam mengambil tindakan,” katanya.

    Malaysiakini turut berusaha mendapatkan pandangan orang bukan Melayu. Namun didapati ada beberapa orang yang teragak-agak untuk memberikan jawapan.

    Individu bukan Melayu dalam kategori belia pula kelihatan seperti tidak tahu atau malas mengambil tahu isu politik di negara ini.

    Nak jaga hati semua

    Jurujual yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 27, berpandangan Malaysia memerlukan masa lebih lagi untuk menjadi negara yang bersatu padu.

    Pun begitu dia tertanya bersikap optimis.

    “Kita dalam proses ke arah negara bangsa yang lebih kukuh, justeru kita harus menghadapi liku-liku isu perkauman di negara ini.

    ALSO READ:  Loke announces plan for electronic driving test system by year end.

    “Namun saya optimis bahawa Malaysia menuju ke arah lebih baik,” katanya.

    Lee menambah sikap orang Malaysia memang berlebihan semasa membincangkan isu perkauman namun terhad di media sosial saja.

    Apabila berjumpa atau bersemuka mereka hanya berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa.

    “Saya lihat isu di media sosial ini adalah ketidakmatangan masyarakat dalam membincangkan isu ini. Bagi saya tidak ada salahnya jika setiap kaum ingin meluahkan masalah masing-masing namun jangan beremosi,” katanya.

    Lee turut melihat sikap kerajaan ingin menjaga hati semua pihak akhirnya akan menyebabkan berlaku kekaburan mengenai sikap mereka.

    Joshua Yeoh

    Promoter, Joshua Yeoh, 25, menyatakan dia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan orang Melayu dan India, malah langsung tidak merasai sebarang sentimen perkauman apabila bergaul.

    “Namun saya tidak nafikan ketegangan itu ada di media sosial. Saya lebih melihat kebanyakan orang lebih meluahkan perasaan di ruang siber namun mereka tidak berani tunjuk di luar.

    “Cuma jangan kita pandang remeh kerana perkara ini mungkin boleh memberi kesan jangka panjang kepada perhubungan masyarakat jika kita tidak berbuat apa-apa,” katanya.

    Pelajar, Noah Ooi, 23, mencadangkan agar kerajaan memperhebatkan lagi program-program yang menekankan aspek keharmonian kaum di setiap saluran berita serta bersikap tegas kepada sesiapa yang memainkan isu 3R

    “Kerajaan wajib menyeru rakyat jelata yang cintakan keharmonian dan keadilan supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa jika ada sebarang hantaran atau komen berunsur 3R agar tindakan lanjut dapat diambil dengan segera,” katanya.

    Suhana

    Peniaga pakaian tradisional kaum India, Suhana, 66, menyatakan hubungan antara kaum seperti biasa sahaja jika dilihat di lapangan dan kesalahan patut diletakkan di aplikasi media sosial seperti TikTok.

    Hal itu kerana, katanya, ada pihak yang menokok tambah sesuatu isu sehingga menyentuh aspek perkauman.

    “Bagi saya kalau kita nak selesai masalah ini senang sahaja, kerajaan harus menutup platform TikTok. Saya percaya segala masalah akan selesai,” katanya.

    ALSO READ:  Anis Rizana, wanita pertama jadi ketua pengarah Kastam

    Bantu tak kira bangsa

    Peniaga di Brickfields, Sherin Chandrakumar, 28, sebaliknya berkata dia memang merasai ketegangan kaum sedang berlaku namun ia tidak melibatkan semua orang Melayu.

    “Ada sesetengah orang Melayu mula menunjukkan sikap rasis kepada saya.

    “Apabila saya pergi ke restoran dan kedai, misanya, ada orang tertentu yang bersikap sambil lewa apabila saya bertanya

    “Berbeza kalau sesama bangsa mereka, dia melayan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

    Sherin Chandrakumar

    Sherin juga menganggap kerajaan hari ini sudah tidak ambik kisah akan isu perkauman malah ekonomi juga tidak terjaga.

    Justeru Sherin mengajak orang Melayu melihat sesuatu isu dengan lebih menyeluruh dan dari perspektif kemanusian berbanding bangsa yang sempit.

    “Melayu harus sedar kaum lain tidak ada apa-apa niat jahat pun terhadap mereka.

    “Baru-baru ini ada wanita Melayu dilanggar motor, kami orang India bersungguh-sungguh membantunya. Ada yang sedang makan juga cepat keluar untuk bantu.

    “Kami kaum bukan Melayu tidak pernah rasis, tapi ada segelintir Melayu sampai tergamak menghina agama kami,” katanya.

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts