Wakil pengusaha kecil kenderaan perdagangan wilayah timur, K R Alagendran menafikan video yang tular baru-baru ini mempunyai kaitan dengan mogok dilakukan pemandu lori di Pahang. Dia yang melihat video itu berkata, rakaman terbabit adalah kejadian lama yang diulang sebar oleh pihak tertentu.
“Ini klip video lama, bukan video sekarang. Ini dulu budak-budak baling batu atas highway (lebuh raya), atas highway tu ada jambatan. Budak-budak duduk atas jambatan tu dia baling batu, bukan pasal mogok. You tahu kan WhatsApp, yang lama-lama dia akan ungkit balik, masa macam mogok dia, video palsu ni, bukan pasal mogok,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, petang tadi.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 1 minit 48 saat menunjukkan seorang pemandu lori yang mendakwa cermin depan kenderaannya retak akibat terkena batu.
Berdasarkan rakaman itu, pemandu lori terbabit menuruni kenderaan dan berjalan di tepi laluan dipercayai lebuh raya sambil mencari pelaku yang dikatakan membaling batu ke arah kenderaan dipandunya.
Sementara itu, seorang lagi wakil pemandu lori, Mohd Shamsuddin Zakaria ketika dihubungi memaklumkan dia tidak mempunyai maklumat mengenai kejadian dirakam dalam video yang tular itu.
Namun dia percaya kejadian itu tidak berlaku di Pahang dan berkemungkinan di Lembah Klang.
“Kalau kita perhati rakaman itu, saya fikir kejadian bukan di sini (Pahang), mungkin di sebelah Kuala Lumpur,” katanya.