Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) merampas 11 alas kaki dengan imej Kaabah di sebuah pasar raya di Negeri itu.
Rampasan itu susulan aduan awam terhadap pasar raya yang terletak di Batu Pahat, menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid seperti dipetik Berita Harian.
Dia berkata rampasan itu dibuat pada 9 April lalu, iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Sebenarnya tindakan pemeriksaan dan pemantauan sudah dibuat sehari sebelum Aidilfitri susulan aduan awam, selain ia tular di media sosial.
“Hasil pemeriksaan, 11 unit alas kaki dengan gambar Kaabah itu sudah dirampas dengan pemantauan juga masih berterusan di seluruh Negeri ini,” katanya.
Mohd Fared berkata tiada kenyataan berkenaan perkara itu dibuat sebelum ini bagi menghormati Hari Raya dan menghindari kerisauan awam.
Menurut laporan itu, seorang pengguna media sosial memuat naik gambar alas kaki tersebut yang dijual di pasar raya berkenaan.
“Ingatkan sejadah sebab ada gambar Kaabah, tapi rupanya alas kaki untuk lap kaki,” katanya.