PARLIMEN | NGO mesra PAS bermatlamatkan usaha bantuan bencana Khidmat Malaysia, telah melancarkan kutipan derma dalam persediaan menghadapi musibah banjir tengkujuh pada penghujung tahun.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan semua akaun NGO itu diaudit dan dibuka untuk penelitian umum.
Beliau berkata “Tabung Musa’adah” menyasarkan untuk mengumpul jumlah awal RM500,000, dengan tumpuan untuk pengagihan di Negeri-Negeri Pantai Timur yang terjejas akibat banjir.
“Setiap akaun kita diaudit. Kita terbuka. Maknanya setiap perbelanjaan, banyak mana kita dapat, perbelanjaan dan sebagainya semua kita audit.
“Bererti kita mematuhi semua peraturan yang ada. Tidak ada yang tersembunyi,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi parlimen.
Bersama ahli parlimen Kubang Kerian itu yang melancarkan kutipan derma tersebut ialah Pengerusi NGO Khidmat Malaysia dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap kutipan derma oleh NGO.
Ini selepas SPRM pada awal hari ini memaklumkan pembekuan 41 akaun bank dan lebih RM15 juta dana yang dikaitkan dengan Aman Palestin Bhd dan beberapa syarikat lain yang terlibat dalam mengumpul dana untuk rakyat Palestin di Gaza.
SPRM berkata pembekuan akaun ini berkaitan siasatan terhadap “dakwaan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.”
Aman Palestin sebelum ini telah berdepan kesukaran di Perlis apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) menghentikan kutipan di Negeri itu sementara menunggu siasatan.