Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan iklan pakej umrah yang menawarkan harga yang terlalu murah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. Beliau berkata semua yang berhasrat untuk menunaikan umrah haruslah meneliti latar belakang agensi pilihan di platform yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Pengguna perlu lebih berwaspada kerana terdapat tawaran yang terlalu murah, seperti RM4,000. Logiknya, kadar itu tidak cukup untuk menampung kos tiket penerbangan, penginapan, kos di Makkah, ziarah ke Madinah, dan kos lain-lain yang termasuk sepanjang tempoh menunaikan umrah itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Akademi Daei Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2023 di Petaling Jaya semalam.
Na’im berkata demikian apabila ditanya mengenai satu video yang menjadi viral di aplikasi TikTok semalam yang menunjukkan penipuan oleh syarikat yang menawarkan pakej umrah kepada penduduk kampung. Pada masa yang sama, beliau juga menasihati individu yang menjadi mangsa penipuan oleh syarikat atau agensi yang menawarkan pakej umrah agar menyimpan semua bukti transaksi dan perjanjian serta membuat laporan polis.
Dalam acara tersebut, Pertandingan Akhir Akademi Daei Muda Yadim 2023 telah diadakan dan melibatkan enam peserta. Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Khairul Aizat Yusoff, 23, telah diumumkan sebagai pemenang utama dan menerima Anugerah Perdana Daie Muda.
Artikel yang disiarkan ini adalah merupakan laporan daripada Bernama.