Semua pihak dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan bahawa seseorang Muslim menjadi kafir kerana dakwaan seumpama itu amat berat dan tidak wajar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata sikap suka kafir-mengkafir sesama Muslim adalah bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah Waljamaah.
“Tindakan seperti ini (menuduh seorang Muslim kafir) amat berbahaya kerana ia bertentangan dengan prinsip agama dan akan mencetuskan kegelisahan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Na’im, perkara-perkara yang berkaitan dengan agama, khususnya dalam bidang akidah dan syariah, perlu dirujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri serta para ilmuan yang diperakui kepakarannya dalam bidang tersebut.
– Bernama