Sekurang-kurangnya 81 warga Palestin maut dan 116 lagi cedera dalam tempoh 24 jam terakhir akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, kata Kementerian Kesihatan Gaza pada Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Tentera Israel melakukan lapan pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga-keluarga di Semenanjung Gaza, menyebabkan 81 gugur syahid dan 116 cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu,” kata kementerian dalam satu kenyataan.
Ramai yang masih terperanangkap di bawah runtuhan bangunan dan di atas jalan kerana anggota penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka,” katanya.
Mengabaikan perintah sementara ICJ, Israel terus menyerang Gaza dengan sekurang-kurangnya 31,726 rakyat Palestin maut, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta 73,792 cedera sejak 7 Oktober, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Israel telah melakukan serangan berterusan sejak serangan Hamas melepasi sempadan Israel, yang Tel Aviv dakwa telah mengorbankan 1,200 orang.
Serangan Israel ke atas Gaza telah menyebabkan 85 peratus penduduk kehilangan tempat tinggal serta menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, sementara 60 peratus infrastruktur wilayah itu telah rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Israel dituduh melakukan genosid di ICJ. Satu perintah sementara pada Januari menyuruh Israel menghentikan genosid dan mengambil langkah untuk memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan kepada penduduk Gaza.
Serangan diteruskan tanpa sebarang tanda akan dikurangkan dan penyampaian bantuan masih tidak mencukupi bagi menangani bencana kemanusiaan ini.
– Bernama