Seorang jurutera hadir di Mahkamah Majistret di Butterworth hari ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk yang mengakibatkan kematian dua guru lelaki pada bulan Disember tahun lalu.
Teoh Joo Leong, 47, bagaimanapun telah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.
Beliau dituduh memandu dalam keadaan kandungan alkohol melebihi had yang ditetapkan dan menyebabkan kematian Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32, dan Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, dalam kemalangan pada kira-kira 2.30 pagi pada 16 Disember 2023 di Jalan Permatang Baru.
Teoh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara minimum sepuluh tahun dan maksimum 15 tahun serta denda minimum RM8,000 dan maksimum RM100,000 jika bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Chew Anthony memohon jumlah minimum atas alasan Teoh seorang duda dan terpaksa menanggung tiga anak yang masih bersekolah serta ibu bapa yang sudah tua.
Mahkamah kemudian bersetuju untuk mengikat jaminan tertuduh sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac sebagai tarikh serahan dokumen.
– Bernama