Seorang jurutera projek syarikat swasta didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah menconteng tulisan terrorist di tembok bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dengan menggunakan cat penyembur merah, bulan lepas.
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Ridzwan Al Amin Azman Shah, 23, dan tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan harta benda kepunyaan kedutaan itu dengan menyebabkan kerugian sebanyak RM200 di tembok luar bahagian utara kedutaan itu di Jalan Tun Razak di sini pada 5.30 hingga 5.45 pagi, 28 Okt lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu.
Peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab, mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda yang rendah tanpa pemenjaraan atas alasan anak guamnya masih bujang dan menanggung keluarga.
“Dia melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dengan kejadian yang berlaku di Palestin kerana dia hanya menyampaikan pandangan peribadinya kepada pihak kedutaan dan bukan mahu menyebabkan kerugian kepada mana-mana pihak,” kata peguam itu.
– Bernama