Seorang anggota tentera udara Amerika Syarikat (AS) telah membakar diri di luar kedutaan Israel di Washington DC pada hari Ahad.
Jurutera tentera udara Aaron Bushnell membakar diri sebagai tindakan protes terhadap kematian orang awam di Gaza, yang berjumlah hampir 30,000 orang setakat ini.
“Saya tidak akan lagi terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai. Saya akan terlibat dalam tindakan protes ekstrem,” katanya.
“Tetapi jika dibandingkan dengan apa yang dialami oleh orang awam di Palestin di tangan penjajah mereka, ia tidak melampau sama sekali.
“Inilah yang diputuskan oleh kelas pemerintah kita sebagai perkara biasa,” tambahnya.
Bushnell, yang mengenakan seragam, kemudian meletakkan telefonnya di atas tanah, menyiram badannya dengan cecair mudah terbakar dan menyalakan api untuk membakar dirinya.
Sambil terbakar, dia melaungkan “free Palestine” sebagai tanda protes.
Ejen Perkhidmatan Rahsia AS di kedutaan tersebut telah memadamkan api tersebut, tetapi Bushnell, yang berusia 25 tahun, mengalami kecederaan yang teruk.
Terdapat laporan yang memberitahu bahawa Bushnell dalam keadaan kritikal atau telah meninggal dunia akibat kecederaannya.
AS telah dituduh membantu dan bersubahat dengan kerajaan Israel dalam serangan berterusan ke atas Gaza sejak Oktober lalu sebagai tindak balas kepada serangan yang dilakukan oleh Hamas.
Hampir 30,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terkorban setakat ini, berbanding dengan angka korban di pihak Israel yang kira-kira 1,400 orang.