Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini. Menurut jadual rasmi Parlimen, pembentangan KSP RMK12 akan bermula pada jam 10 pagi dan diikuti dengan sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen selama tiga hari bermula esok (Selasa). Jawapan dari kementerian berkaitan juga akan diberikan pada 18 dan 19 September. Pembentangan KSP RMK12 akan disiarkan secara langsung melalui YouTube Parlimen Malaysia dan beberapa saluran televisyen, di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Ini adalah kali pertama Kerajaan Perpaduan mempersembahkan KSP Rancangan Malaysia selepas mereka mengambil alih pemerintahan negara setelah Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November tahun lalu. RMK12, dengan peruntukan sebanyak RM400 bilion yang dibentangkan pada 27 September 2021, merupakan fasa pelengkap dalam rancangan pembangunan lima tahun negara (2021-2025) untuk mencapai status negara maju dan inklusif.
Penyediaan KSP RMK12 adalah untuk mengukur pencapaian sasaran dalam dua tahun pertama (2021-2022) serta hala tuju 2023-2025. Kajian ini melibatkan semakan semula terhadap sasaran, strategi, inisiatif, program, dan projek pembangunan dalam mencapai matlamat pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
KSP RMK12 memberi tumpuan kepada dua aspek iaitu penilaian dan semakan semula yang merangkumi pencapaian, analisis jurang, cadangan penambahbaikan, dan hala tuju. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli telah mengatakan bahawa KSP RMK12 perlu dinilai secara menyeluruh kerana peranancangan sebelum wabak Covid-19 tidak lagi relevan dan kajian separuh penggal kali ini boleh dianggap sebagai rancangan baru untuk negara.
Pada 19 Jun yang lepas, Mesyuarat Khas Perdana Menteri bersama Ahli Jemaah Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian telah bersetuju untuk semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan untuk mempercepatkan pelaksanaan reformasi dan inisiatif ekonomi yang dirancang.
– Bernama